Monday 14 May 2012

Rang Undang-Undang Rukun Tetangga 2012


Rukun Tetangga Act 2012

Tabled in Parliament : 18/04/2012 D.R. 20/2012~Bill passed

Dibentang Pada : 18/04/201~Rang undang-undang diluluskan
Dibentang Oleh : Y.B. Senator Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon, Menteri di Jabatan Perdana Menteri
Disokong Oleh : Y.B. Datuk Wira Abu Seman Haji Yusop, Timbalan Menteri Dalam Negeri


Rukun Tetangga 
D.R. 20/2012
RANG UNDANG-UNDANG RUKUN TETANGGA 2012
SUSUNAN FASAL
BAHAGIAN I
PERMULAAN
Fasal
1. Tajuk ringkas dan permulaan kuat kuasa
2. Tafsiran
BAHAGIAN II
RUKUN TETANGGA
3. Pelantikan Ketua Pengarah Rukun Tetangga dan pegawai lain
4. Kuasa untuk mewakilkan
5. Penetapan Kawasan Rukun Tetangga
6. Pusat Kawasan
7. Pelantikan Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga
8. Fungsi dan tugas Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga
9. Pembatalan pelantikan dan peletakan jawatan
10. Pembatalan penetapan Kawasan Rukun Tetangga dan pembubaran Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga
11. Peruntukan atau bantuan kewangan kepada Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga
12. Kuasa untuk mengutip atau menerima wang
13. Akaun bank
14. Penubuhan Jawatankuasa Penyelaras dan Penasihat Rukun Tetangga
BAHAGIAN III
SKIM RONDAAN SUKARELA
Fasal
15. Permohonan untuk menjalankan Skim Rondaan Sukarela
16. Perjalanan Skim Rondaan Sukarela
17. Keanggotaan Skim Rondaan Sukarela
18. Tugas anggota Skim Rondaan Sukarela
19. Tatakelakuan anggota Skim Rondaan Sukarela
20. Masa rehat atau pelepasan waktu bekerja
21. Pembatalan Skim Rondaan Sukarela
BAHAGIAN IV
PELBAGAI
22. Pergabungan aktiviti Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga
23. Pekerja tidak mengalami kehilangan saraan atau apa-apa kemudaratan
24. Kad pengenalan
25. Kuasa untuk menghentikan dan memeriksa
26. Penyamaran
27. Pernyataan palsu
28. Perlindungan terhadap tindakan guaman dan prosiding undang-undang
29. Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948
30. Kuasa untuk memberikan arahan
31. Kuasa untuk mengeluarkan garis panduan, pekeliling dan arahan
32. Kuasa untuk membuat peraturan-peraturan
33. Peruntukan kecualian
34. Penerusan perbuatan dan tindakan

Suatu Akta untuk membuat peruntukan yang berhubungan dengan Rukun Tetangga dan Skim Rondaan Sukarela dan bagi perkara yang berkaitan dengannya.

DIPERBUAT oleh Parlimen Malaysia seperti yang berikut:
BAHAGIAN I
PERMULAAN
Tajuk ringkas dan permulaan kuat kuasa
1. (1) Akta ini bolehlah dinamakan Akta Rukun Tetangga 2012.
    (2) Akta ini mula berkuat kuasa pada 22 Jun 2012.
Tafsiran
2. Dalam Akta ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain—
“Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga” ertinya Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga yang dilantik di bawah seksyen 7;

“Jawatankuasa Penyelaras dan Penasihat Rukun Tetangga” ertinya Jawatankuasa Penyelaras dan Penasihat Rukun Tetangga yang ditubuhkan di bawah seksyen 14;


“Kawasan” ertinya Kawasan Rukun Tetangga yang ditetapkan oleh Ketua Pengarah di bawah seksyen 5;

“Ketua Pengarah” ertinya Ketua Pengarah Rukun Tetangga yang dilantik di bawah subseksyen 3(1);

“majikan” ertinya orang atau kumpulan orang, sama ada pertubuhan perbadanan atau pertubuhan yang tidak diperbadankan, yang mengupah atau mengambil perkhidmatan seseorang atau orang bagi upah atau gaji di bawah kontrak pekerjaan, dan termasuklah Kerajaan Malaysia, Kerajaan Negeri dan mana-mana pihak berkuasa berkanun atau tempatan;

“Menteri” ertinya Menteri yang dipertanggungkan dengan tanggungjawab bagi Rukun Tetangga;

“pekerja” ertinya seseorang yang merupakan seorang warganegara dan diupah atau diambil oleh seseorang majikan untuk upah atau gaji, sama ada atau tidak termasuk dalam takrif dalam Akta Kerja 1955 [Akta 265], Ordinan Buruh Sabah [Bab 67] atau Ordinan Buruh Sarawak [Bab 76], dan termasuklah mana-mana orang yang memegang apa-apa jawatan dalam mana-mana perkhidmatan awam dan pihak berkuasa berkanun atau tempatan;

“pemastautin” ertinya mana-mana orang yang biasanya bermastautin di dalam suatu Kawasan dan termasuklah seseorang yang telah bermastautin di dalam suatu Kawasan secara berterusan bagi suatu
tempoh yang melebihi tiga puluh hari;

“Pengarah” ertinya Pengarah Rukun Tetangga dan termasuklah Ketua Pengarah Rukun Tetangga, Timbalan Ketua Pengarah Rukun Tetangga, Timbalan Pengarah Rukun Tetangga dan Penolong Pengarah Rukun Tetangga yang dilantik oleh Menteri di bawah subseksyen 3(2);

“Pusat Kawasan” ertinya mana-mana premis yang disediakan oleh Ketua Pengarah di bawah seksyen 6;

“Skim Rondaan Sukarela” ertinya suatu skim yang diluluskan oleh Ketua Pengarah di bawah seksyen 15.
BAHAGIAN II
RUKUN TETANGGA
Pelantikan Ketua Pengarah Rukun Tetangga dan pegawai lain
3. (1) Menteri hendaklah melantik seorang pekhidmat awam menjadi Ketua Pengarah Rukun Tetangga.
(2) Menteri boleh melantik daripada anggota perkhidmatan awam, apa-apa bilangan Timbalan Ketua Pengarah Rukun Tetangga,Pengarah Rukun Tetangga, Timbalan Pengarah Rukun Tetangga,Penolong Pengarah Rukun Tetangga dan mana-mana pegawai lain yang difi kirkannya perlu atau suai manfaat untuk membantu Ketua Pengarah dalam melaksanakan kewajipannya di bawah Akta ini.
(3) Seseorang yang dilantik di bawah subseksyen (2) adalah tertakluk kepada arahan dan kawalan Ketua Pengarah.
Kuasa untuk mewakilkan
4. (1) Seseorang Pengarah boleh, secara bertulis, mewakilkan mana-mana kuasa yang diberikan kepadanya di bawah Akta  ini kepada mana-mana pegawai yang dilantik di bawah subseksyen 3(2).
(2) Suatu pewakilan yang dibuat di bawah subseksyen (1) adalah tertakluk kepada apa-apa batasan sebagaimana yang ditetapkan oleh Pengarah dalam surat cara pewakilan itu.
(3) Suatu pewakilan di bawah seksyen ini tidak menghalang  seseorang Pengarah sendiri daripada menjalankan pada bila-bila masa mana-mana kuasa yang diwakilkan itu.
Penetapan Kawasan Rukun Tetangga
5. Ketua Pengarah boleh, melalui notis yang diiklankan mengikut apa-apa cara yang difikirkannya patut, menetapkan mana-mana kawasan menjadi suatu Kawasan Rukun Tetangga.
Pusat Kawasan
6. Ketua Pengarah boleh menyediakan apa-apa premis yang difikirkannya patut sebagai suatu Pusat Kawasan untuk kegunaan Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga.
Pelantikan Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga
7. (1) Seseorang Pengarah hendaklah, dalam tempoh tiga puluh hari dari tarikh penetapan sesuatu Kawasan di bawah seksyen 5 atau dalam apa-apa tempoh yang lebih lama sebagaimana yang ditetapkan oleh Ketua Pengarah, melantik berkenaan dengan Kawasan itu suatu Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga
yang hendaklah terdiri daripada apa-apa bilangan orang yang merangkumi pemastautin, orang yang mempunyai kepentingan dalam Kawasan itu dan orang lain, sebagaimana yang diluluskan oleh Pengarah.
(2) Pengarah hendaklah, selepas berunding dengan anggota Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga, melantik dari kalangan anggota Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga—
(a) seorang Pengerusi;
(b) seorang Timbalan Pengerusi;
(c) seorang Setiausaha;
(d) seorang Penolong Setiausaha; dan
(e) seorang Bendahari.
(3) Seseorang tidak layak dilantik sebagai anggota Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga jika—
(a) dia belum mencapai umur lapan belas tahun;
(b) dia seorang bankrap belum lepas;
(c) dia telah disabitkan atas suatu kesalahan dan dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang daripada dua ribu ringgit atau kedua-duanya;
(d) dia bukan warganegara atau pemastautin tetap; dan
(e) dia tidak sempurna akal atau selainnya tidak berupaya untuk melaksanakan kewajipannya.
(4) Seseorang anggota Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga hendaklah memegang jawatan selama tempoh tidak melebihi dua tahun dan layak untuk dilantik semula apabila habis tempoh jawatannya, tetapi tidak boleh dilantik untuk lebih daripada tiga penggal berturut-turut melainkan dengan kelulusan Ketua
Pengarah.
Fungsi dan tugas Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga
8. Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga hendaklah mempunyai fungsi dan tugas yang berikut:
(a) untuk menjalankan apa-apa akitiviti bagi meningkatkan dan mengukuhkan semangat kejiranan, perpaduan, muhibah, keharmonian, keselesaan, keamanan, kerjasama, keselamatan, kebajikan, kesihatan, kesejahteraan ekonomi dan kualiti hidup di kalangan anggota masyarakat;
(b) untuk menerima maklumat mengenai, untuk memerhati dan menyiasat, semua isu mengenai konflik masyarakat di dalam Kawasan dan melaporkan maklumat, pemerhatian dan penyiasatan itu kepada
Pengarah;
(c) untuk mengambil apa-apa langkah yang perlu atau wajar untuk membolehkan pemastautin melindungi
diri mereka terhadap apa-apa aktiviti jenayah atau bencana;
(d) untuk menyediakan pengantaraan dalam masyarakat bagi maksud pendamaian atau selainnya menyelesaikan apaapa pertikaian atau perselisihan di kalangan anggota masyarakat; dan
(e) untuk menjalankan apa-apa fungsi atau tugas lain yang diarahkan oleh Ketua Pengarah dari semasa ke
semasa.
Pembatalan pelantikan dan peletakan jawatan
9. (1) Pelantikan seseorang anggota Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga di bawah subseksyen 7(2) boleh pada bila-bila masa dibatalkan oleh seseorang Pengarah.
(2) Seseorang anggota Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga yang dilantik di bawah subseksyen 7(2) boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya dengan memberikan notis bertulis kepada Pengarah.
Pembatalan penetapan Kawasan Rukun Tetangga dan pembubaran Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga
10. (1) Ketua Pengarah boleh, pada bila-bila masa, melalui notis yang diiklankan mengikut apa-apa cara yang difikirkannya patut, membatalkan mana-mana penetapan Kawasan Rukun Tetangga yang dibuat di bawah seksyen 5.
(2) Jika penetapan Kawasan Rukun Tetangga telah dibatalkan di bawah subseksyen (1), Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga bagi Kawasan itu hendaklah terbubar serta-merta.
Peruntukan atau bantuan kewangan kepada Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga
11. Ketua Pengarah boleh, dari semasa ke semasa, dengan kelulusan Menteri dan persetujuan Menteri Kewangan, menyediakan peruntukan atau bantuan kewangan kepada suatu Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga sebagaimana yang dikehendakinya untuk menjalankan mana-mana fungsi dan tugasnya di bawah Akta ini, tertakluk kepada apa-apa terma dan syarat yang ditentukan oleh Menteri.
Kuasa untuk mengutip atau menerima wang
12. (1) Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga boleh mengutip atau menerima wang di dalam Kawasan itu bagi menjalankan mana-mana fungsi dan tugasnya di bawah Akta ini, dengan syarat bahawa Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga itu telah memohon dan memperoleh kelulusan bertulis daripada Ketua Pengarah terlebih dahulu.
(2) Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga dalam mengutip atau menerima wang di bawah subseskyen (1) adalah tertakluk kepada apa-apa terma dan syarat yang dikenakan oleh Ketua Pengarah.
Akaun bank
13. (1) Semua wang yang diterima oleh Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga hendaklah didepositkan ke dalam suatu akaun bank di bawah nama Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga itu.
(2) Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga hendaklah menyebabkan akaun dan rekod aktivitinya disenggarakan dan disimpan dalam bentuk yang sepatutnya.
(3) Penyata akaun bagi Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga hendaklah diperiksa setiap tahun oleh dua pemastautin yang dilantik dari kalangan dan oleh pemastautin dalam Kawasan itu.
Penubuhan Jawatankuasa Penyelaras dan Penasihat Rukun Tetangga
14. (1) Menteri boleh menubuhkan suatu jawatankuasa yang dikenali sebagai “Jawatankuasa Penyelaras dan Penasihat Rukun Tetangga” untuk menyelaras dan menasihati Pengarah mengenai semua perkara yang dirujukkan kepadanya oleh Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga dan untuk menjalankan apa-apa fungsi yang ditetapkan oleh Menteri di bawah Akta ini.
(2) Jawatankuasa Penyelaras dan Penasihat Rukun Tetangga hendaklah terdiri daripada yang berikut:
(a) seorang Pengerusi;
(b) sekurang-kurangnya seorang Timbalan Pengerusi;
(c) seorang Setiausaha; dan
(d) sekurang-kurangnya dua puluh anggota lain.
(3) Penubuhan Jawatankuasa Penyelaras dan Penasihat Rukun Tetangga di bawah subseksyen (1) boleh pada bila-bila masa dibatalkan oleh Menteri.
BAHAGIAN III
SKIM RONDAAN SUKARELA
Permohonan untuk menjalankan Skim Rondaan Sukarela
15. (1) Pengerusi Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga boleh memohon kepada Ketua Pengarah untuk menjalankan Skim Rondaan Sukarela di dalam keseluruhan atau sebahagian Kawasan jika permohonan dibuat kepadanya oleh sekumpulan tidak kurang daripada dua puluh orang pemastautin Kawasan itu yang berumur tidak kurang daripada lapan belas tahun.
(2) Jika permohonan di bawah subseksyen (1) diluluskan oleh Ketua Pengarah, Ketua Pengarah hendaklah menyampaikan kelulusan itu kepada Pengerusi Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga bagi pelaksanaan Skim Rondaan Sukarela.
Perjalanan Skim Rondaan Sukarela
16. (1) Ketua Pengarah hendaklah menghendaki supaya Skim Rondaan Sukarela dimulakan oleh Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga dalam tempoh tiga puluh hari dari tarikh kelulusan di bawah seksyen 15 atau dalam apa-apa tempoh yang lebih lama sebagaimana yang ditentukan oleh Ketua Pengarah.
(2) Jika perjalanan Skim Rondaan Sukarela itu tidak dimulakan dalam tempoh yang dinyatakan di bawah subseksyen (1), kelulusan di bawah seksyen 15 hendaklah luput.
(3) Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga adalah bertanggungjawab bagi Skim Rondaan Sukarela di dalam Kawasan itu.
Keanggotaan Skim Rondaan Sukarela
17. (1) Seseorang pemastautin di dalam Kawasan atau seseorang yang mempunyai kepentingan di dalam Kawasan atau seseorang yang telah diluluskan oleh Pengarah boleh memohon kepada Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga untuk menjadi anggota Skim Rondaan Sukarela.
(2) Seseorang anggota Skim Rondaan Sukarela boleh pada bila-bila masa menarik diri daripada Skim dengan memberikan  notis bertulis yang dialamatkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga.
(3) Keanggotaan seseorang anggota Skim Rondaan Sukarela boleh pada bila-bila masa ditamatkan oleh Pengarah.
Tugas anggota Skim Rondaan Sukarela
18. (1) Anggota Skim Rondaan Sukarela hendaklah mempunyai tugas yang berikut:
(a) tugas meronda di dalam Kawasan sebagaimana yang ditentukan oleh Jawatankuasa Kawasan Rukun
Tetangga;
(b) tugas mengawal di Pusat Kawasan pada apa-apa waktu sebagaimana yang ditentukan oleh Pengarah; dan
(c) tugas mengawal di mana-mana premis, tempat atau lokasi di dalam Kawasan sebagaimana yang dikehendaki oleh  Pengarah.
(2) Seseorang anggota Skim Rondaan Sukarela yang menjalankan
tugas meronda atau tugas mengawal hendaklah menjalankan tugasnya
dalam kumpulan yang terdiri daripada sekurang-kurangnya dua
anggota dalam satu kumpulan.
(3) Seseorang anggota Skim Rondaan sukarela hendaklah
menjalankan tugas meronda atau tugas mengawal tidak lebih
daripada dua kali dalam satu bulan.
Tatakelakuan anggota Skim Rondaan Sukarela
19. (1) Seseorang anggota Skim Rondaan Sukarela yang, semasa menjalankan tugas meronda atau tugas mengawal—
(a) dengan sengaja memberikan maklumat palsu mengenai apa-apa perkara;
(b) melanggar perintah atau arahan sah Pengarah atau Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga;
(c) melakukan apa-apa perbuatan yang lucah, buruk atau menghina;
(d) menggunakan bahasa yang lucah, buruk atau menghina;
(e) bertindak secara tidak bertanggungjawab seperti tidur, berjudi atau berada bawah pengaruh alkohol atau dadah;
(f) bertindak secara cuai; atau
(g) melakukan apa-apa perbuatan yang memudaratkan kebajikan Kawasan itu,melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh
tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.
Masa rehat atau pelepasan waktu bekerja
20. (1) Jika anggota Skim Rondaan Sukarela merupakan seorang pekerja kepada mana-mana orang dan anggota itu menjalankan  tugas meronda atau tugas mengawal bagi suatu tempoh yang tidak kurang daripada dua jam berturut-turut selepas tengah malam, anggota itu, tertakluk kepada persetujuan bertulis majikan terlebih dahulu, hendaklah diberikan masa rehat atau pelepasan waktu bekerja dengan bergaji oleh majikannya  mengikut subseksyen (2), dengan syarat bahawa masa rehat atau  pelepasan waktu bekerja dengan bergaji itu tidak boleh melebihi empat jam.
(2) Masa rehat atau pelepasan waktu bekerja dengan bergaji di bawah subseksyen (1)—
(a) hendaklah diberikan mengikut tempoh masa sebenar tugas meronda atau tugas mengawal pada sebelah pagi pada hari itu;
(b) tidak boleh dibawa pada sebelah petang pada hari itu atau pada hari yang berikutnya;
(c) hendaklah bermula pada waktu bekerja biasa pekerja itu atau mengikut apa-apa perkiraan lain yang dipersetujui  oleh majikan selepas berunding dengan Pengerusi Jawatankuasa Kawasan Rukuk Tetangga;
(d) tidak boleh dikumpulkan untuk disifatkan sebagai cuti;dan
(e) hendaklah luput jika tidak digunakan.
(3) Walau apa pun subseksyen 18(3), seseorang pekerja boleh menjalankan tugas meronda atau tugas mengawal lebih daripada dua kali dalam satu bulan atas permintaan Pengerusi Jawatankuasa
Kawasan Rukun Tetangga dan dengan persetujuan bertulis majikan terlebih dahulu dan dalam hal itu pekerja itu berhak untuk diberi masa rehat atau pelepasan waktu bekerja dengan bergaji mengikut subseksyen (2) dan (3).
Pembatalan Skim Rondaan Sukarela
21. Ketua Pengarah boleh, melalui notis yang diiklankan mengikut apa-apa cara yang difikirkannya patut, membatalkan kelulusan bagi mana-mana Skim Rondaan Sukarela di bawah seksyen 15.
BAHAGIAN IV
PELBAGAI
Pergabungan aktiviti Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga
22. (1) Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga bagi dua Kawasan atau lebih boleh menggabungkan aktiviti mereka—
(a) jika difikirkan perlu atau suai manfaat untuk berbuat demikian; atau
(b) jika Pengarah mengarahkan secara bertulis supaya Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga itu bertindak secara pergabungan mengikut dan setakat yang dinyatakan oleh Pengarah dalam arahan itu.
(2) Jika Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga bagi dua Kawasan atau lebih memikirkan bahawa dalam pergabungan aktiviti-aktiviti mereka itu adalah perlu bagi semua atau mana-mana Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga atau anggota Skim Rondaan Sukarela semasa menjalankan tugas meronda atau tugas mengawal, untuk melaksanakan fungsi atau tugas dalam Kawasan atau Kawasan-Kawasan selain Kawasan mereka masing-masing, adalah sah di sisi undang-undang untuk mereka berbuat demikian tertakluk
kepada arahan bertulis yang diberikan oleh Pengarah.
Pekerja tidak mengalami kehilangan saraan atau apa-apa kemudaratan
23. (1) Tertakluk kepada seksyen 20, seseorang majikan tidak boleh menjadikan seseorang pekerja tertakluk kepada apa-apa kehilangan saraan atau apa jua kemudaratan atas sebab pekerja itu melaksanakan apa-apa tugas atau mematuhi apa-apa arahan
di bawah Bahagian III.
(2) Apa-apa persoalan tentang apa-apa kehilangan saraan yang dialami oleh pekerja yang termasuk dalam takrif di bawah Jadual Pertama Akta Kerja 1955, Ordinan Buruh Sabah atau Ordinan Buruh Sarawak atau pekerja yang tidak termasuk dalam takrif Akta atau Ordinan itu yang gajinya sebulan melebihi dua ribu
lima ratus ringgit tetapi tidak melebihi lima ribu ringgit hendaklah diputuskan oleh Ketua Pengarah.
(3) Bagi maksud seksyen ini, Ketua Pengarah ertinya—
(a) berkenaan dengan Semenanjung Malaysia, Ketua Pengarah Tenaga Kerja yang dilantik di bawah subseksyen 3(1) Akta Kerja 1955;
(b) berkenaan dengan Sabah, Pengarah Tenaga Kerja yang dilantik di bawah subseksyen 3(1) Ordinan Buruh Sabah;dan
(c) berkenaan dengan Sarawak, Pengarah Tenaga Kerja yang dilantik di bawah subseksyen 3(1) Ordinan Buruh Sarawak.
(4) Apa-apa persoalan tentang sama ada seseorang pekerja,selain mana-mana orang yang memegang apa-apa jawatan dalam mana-mana perkhidmatan awam dan pihak berkuasa berkanun atau tempatan, telah mengalami apa-apa kemudaratan hendaklah diputuskan oleh seseorang Pengarah dan keputusan Pengarah itu adalah muktamad.
Kad pengenalan
24. (1) Seseorang Pengarah hendaklah mengeluarkan kepada setiap anggota Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga dan setiap anggota Skim Rondaan Sukarela suatu kad pengenalan yang hendaklah ditandatangani oleh Pengarah.
(2) Apabila anggota Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga atau anggota Skim Rondaan Sukarela menjalankan mana-mana kuasa di bawah Akta ini, dia hendaklah, apabila diminta,mengemukakan kepada orang yang terhadapnya kuasa itu sedang dijalankan, kad pengenalan yang dikeluarkan kepadanya di bawah
subseksyen (1).
Kuasa untuk menghentikan dan memeriksa
25. Jika seseorang anggota Skim Rondaan Sukarela semasa menjalankan tugas meronda atau tugas mengawal mempunyai alasan yang munasabah untuk mempercayai bahawa keselamatan pemastautin di dalam Kawasan itu terjejas, dia boleh menghentikan dan menjalankan pemeriksaan ke atas mana-mana orang, kenderaan atau apa-apa pengangkutan yang memasuki Kawasannya.
Penyamaran
26. Mana-mana orang yang berpura-pura menjadi, atau secara salah menyamar sebagai, seseorang yang berhak untuk melaksanakan apa-apa fungsi atau tugas atau menjalankan apa-apa kuasa di bawah
Akta ini melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan,didenda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.
Pernyataan palsu
27. Mana-mana orang yang, dalam memberikan apa-apa maklumat bagi maksud Akta ini, dengan disedarinya atau dengan melulu membuat apa-apa pernyataan yang palsu mengenai sesuatu butir
matan melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.
Perlindungan terhadap tindakan guaman dan prosiding undang-undang
28. Tiada tindakan, guaman, pendakwaan atau prosiding lain boleh diambil atau dibawa, dimulakan atau dikekalkan dalam mana-mana mahkamah terhadap seseorang Pengarah, seseorang anggota Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga, seseorang anggota Jawatankuasa Penyelaras dan Penasihat Rukun Tetangga, seseorang anggota Skim Rondaan Sukarela dan seseorang pegawai berkenaan dengan apa-apa perbuatan, pengabaian atau keingkaran yang dibuat atau dilakukan olehnya dengan suci hati atau apa-apa peninggalan
olehnya dengan suci hati atas sifat yang sedemikian.
Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948
29. Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948 [Akta 198]hendaklah terpakai bagi apa-apa tindakan, guaman, pendakwaan atau prosiding terhadap seseorang Pengarah, seseorang anggota Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga, seseorang anggota Jawatankuasa Penyelaras dan Penasihat Rukun Tetangga, seseorang anggota Skim Rondaan Sukarela dan seseorang pegawai berkenaan dengan apa-apa perbuatan, pengabaian atau keingkaran yang dibuat atau dilakukan olehnya dengan suci hati atau apa-apa peninggalan
olehnya dengan suci hati atas sifat yang sedemikian.
Kuasa untuk memberikan arahan
30. Seseorang Pengarah boleh memberikan apa-apa arahan kepada Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga, selaras dengan peruntukan  Akta ini, yang berhubungan dengan pelaksanaan fungsi dan tugas
Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga, dan Jawatankuasa itu hendaklah melaksanakan segala arahan yang diberikan itu.
Kuasa untuk mengeluarkan garis panduan, pekeliling dan arahan
31. Ketua Pengarah boleh mengeluarkan apa-apa garis panduan,
pekeliling atau arahan yang perlu atau suai manfaat bagi maksud
melaksanakan peruntukan Akta ini.
Kuasa untuk membuat peraturan-peraturan
32. Menteri boleh membuat apa-apa peraturan-peraturan yang perlu
atau suai manfaat bagi maksud melaksanakan atau menguatkuasakan
peruntukan Akta ini.
Peruntukan kecualian
33. (1) Tiap-tiap orang yang dilantik di bawah Peraturan-Peraturan Perlu (Rukun Tetangga) 1975 [P.U. (A) 279/1975] hendaklah terus menjadi seorang Pengarah atau seorang pegawai di bawah Akta ini seolah-olah dia telah dilantik di bawah seksyen 3 Akta ini.
(2) Semua penetapan Kawasan, pelantikan Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga, kelulusan Skim Rondaan Sukarela dan pelantikan anggota Skim Rondaan Sukarela yang dibuat sebelum permulaan kuat kuasa Akta ini hendaklah diteruskan di bawah Akta ini dan tertakluk kepada peruntukan Akta ini seolah-olah penetapan, pelantikan dan kelulusan itu telah dibuat di bawah Akta ini.
Penerusan perbuatan dan tindakan
34. Apa-apa perbuatan yang dibuat atau tindakan yang diambil oleh Ketua Pengarah atau mana-mana Pengarah sebelum permulaan kuat kuasa Akta ini hendaklah disifatkan telah dibuat atau diambil,
dan boleh diteruskan dengan sewajarnya oleh Ketua Pengarah atau Pengarah itu, di bawah Akta ini.
HURAIAN
Rang Undang-Undang Rukun Tetangga 2012 yang dicadangkan ini (“Akta yang dicadangkan”) bertujuan untuk membuat peruntukan yang berhubungan dengan Kawasan Rukun Tetangga, Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga dan Skim Rondaan Sukarela, serta untuk memperuntukkan fungsi dan tugas anggota
Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga dan Skim Rondaan Sukarela.
BAHAGIAN I
2. Bahagian I memperkatakan perkara permulaan.
3. Fasal 1 mengandungi tajuk ringkas dan tarikh permulaaan kuat kuasa Akta
yang dicadangkan.
4. Fasal 2 mengandungi takrif ungkapan tertentu yang digunakan dalam Akta
yang dicadangkan.
BAHAGIAN II
5. Bahagian II Akta yang dicadangkan mengandungi, antara lain, peruntukan yang berhubungan dengan penetapan Kawasan Rukun Tetangga, pelantikan Ketua Pengarah Rukun Tetangga dan pegawai lain, Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga dan penubuhan Jawatankuasa Penyelaras dan Penasihat Rukun
Tetangga.
6. Fasal 3 mengadakan peruntukan bagi pelantikan Ketua Pengarah, Timbalan Ketua Pengarah, Pengarah, Penolong Pengarah dan pegawai lain.
7. Fasal 4 membenarkan seseorang Pengarah untuk mewakilkan kuasanya.
8. Fasal 5 dan 6 bertujuan untuk mengadakan peruntukan bagi penetapan Kawasan Rukun Tetangga dan Pusat Kawasan oleh Ketua Pengarah.
9. Fasal 7 menyatakan pelantikan Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga,orang yang tidak layak untuk menjadi anggota Jawatankuasa Kawasan  Rukun Tetangga dan tempoh jawatan anggota Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga.
10. Fasal 8 memperkatakan mengenai fungsi dan tugas Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga.
11. Fasal 9 dan 10 mengadakan peruntukan bagi pembatalan pelantikan dan peletakan jawatan anggota, dan pembubaran, Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga, dan pembatalan penetapan Kawasan Rukun Tetangga.
12. Fasal 11 membenarkan Ketua Pengarah, dengan kelulusan Menteri dan persetujuan Menteri Kewangan, untuk mengadakan peruntukan dan bantuan kewangan kepada Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga
bagi maksud menjalankan fungsi dan tugasnya di bawah Akta yang  dicadangkan.
13. Fasal 12 dan 13 bertujuan untuk mengadakan peruntukan bagi pengutipan dan penerimaan wang oleh Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga. Semua wang hendaklah didepositkan ke dalam suatu akaun bank di bawah nama Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga itu. Fasal ini juga menghendaki Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga untuk menyimpan akaun dan rekod  aktivitinya dengan sepatutnya dan penyata akaun untuk diperiksa pada setiap tahun.
14. Fasal 14 menyatakan penubuhan Jawatankuasa Penyelaras dan Penasihat Rukun Tetangga dengan fungsi sebagaimana yang ditetapkan oleh Menteri.
BAHAGIAN III
15. Bahagian III Akta memperkatakan perjalanan Skim Rondaan Sukarela dan perkara-perkara yang berkaitan.
16. Fasal 15 mengadakan peruntukan bagi permohonan untuk menjalankan suatu Skim Rondaan Sukarela. Ketua Pengarah hendaklah menyampaikan kelulusan permohonan untuk menjalankan Skim Rondaan Sukarela itu kepada Pengerusi Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga.
17. Fasal 16 memperkatakan permulaan perjalanan Skim Rondaan  Sukarela.
18. Fasal 17, 18 dan 19 mengadakan peruntukan bagi permohonan untuk menjadi anggota Skim Rondaan Sukarela, dan tugas dan tatakelakuan anggota Skim Rondaan Sukarela.
19. Fasal 20 memperkatakan masa rehat atau pelepasan daripada waktu bekerja dengan bergaji berkenaan dengan seseorang yang melaksanakan tugas meronda atau tugas mengawal bagi suatu tempoh yang tidak kurang daripada dua jam berturut-turut selepas tengah malam, tertakluk kepada persetujuan  ertulis majikan terlebih dahulu. Masa rehat atau pelepasan waktu bekerja dengan bergaji hendaklah diberikan oleh majikan mengikut tempoh masa sebenar tugas meronda atau tugas mengawal itu dijalankan dan tidak boleh melebihi empat jam.
20. Fasal 21 mengadakan peruntukan bagi pembatalan Skim Rondaan Sukarela
oleh Ketua Pengarah.
BAHAGIAN IV
21. Bahagian IV mengandungi peruntukan pelbagai.
22. Fasal 22 memperkatakan pergabungan aktiviti Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga.
23. Fasal 23 bertujuan untuk mengadakan peruntukan bagi perlindungan pekerja daripada apa-apa kehilangan saraan atau apa-apa kemudaratan oleh sebab pekerja itu melaksanakan tugasnya atau mematuhi apa-apa arahan di bawah Bahagian III yang dicadangkan.
24. Fasal 24 menghendaki anggota sesuatu Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga dan anggota Skim Rondaan Sukarela untuk mengemukakan kad pengenalan apabila diminta.
25. Fasal 25 memberi anggota Skim Rondaan Sukarela kuasa untuk menghentikan dan menjalankan pemeriksaan ke atas orang dan kenderaan semasa menjalankan tugas meronda dan tugas mengawal.
26. Fasal 26 mengadakan peruntukan bagi kesalahan penyamaran dan penaltinya.
27. Fasal 27 mengadakan peruntukan bagi kesalahan memberikan pernyataan salah dan penaltinya.
28. Fasal 28 bertujuan untuk mengadakan peruntukan bagi perlindungan Pengarah, anggota Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga, anggota Skim  Rondaan Sukarela, anggota Jawatankuasa Penyelaras dan Penasihat Rukun  Tetangga dan pegawai berkenaan dengan apa-apa perbuatan, pengabaian,keingkaran atau peninggalan yang dibuat olehnya atau ditinggalkan olehnya  dilakukannya dengan suci hati.
29. Fasal 29 memberikan perlindungan yang diberikan dalam Akta Pelindungan Pihak Berkuasa Awam 1948 [Akta 198] bagi apa-apa tindakan, guaman, prosiding atau pendakwaan terhadap Pengarah, anggota Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga, anggota Skim Rondaan Sukarela, anggota Jawatankuasa Penyelaras dan Penasihat Rukun Tetangga dan pegawai berkenaan dengan apa-apa perbuatan,pengabaian, keingkaran atau peninggalan yang dibuat olehnya atau ditinggalkan olehnya dengan suci hati.
30. Fasal 30 memberi Pengarah kuasa untuk memberikan arahan.
31. Fasal 31 bertujuan untuk memberi Ketua Pengarah kuasa untuk mengeluarkan garis panduan, pekeliling dan arahan.
32. Fasal 32 bertujuan untuk memberi Menteri kuasa untuk membuat peraturan-peraturan di bawah Akta yang dicadangkan.
33. Fasal 33 dan 34 mengadakan peruntukan bagi kecualian dan penerusan perbuatan dan tindakan.
IMPLIKASI KEWANGAN
Rang Undang-Undang ini tidak akan melibatkan Kerajaan dalam apa-apa
perbelanjaan wang tambahan.
[PN(U2)2843]

No comments:

Post a Comment